Selamat Tahun Baharu 2022, semoga kehadirannya akan menyuntik semangat baharu kepada kita dan seluruh warga pendidik untuk melaksanakan amanah yang tergalas di pundak kita. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam satu saf untuk terus melangkah dan mara ke hadapan dengan lebih gagah perkasa demi mempertingkat profesyen kita dalam usaha menelurlan modal insan yang benar-benar berkualiti.
Masa berlalu begitu pantas. Sudah dua tahun kita berada dalam cengkaman pandemic Covid -19. Hal demikian telah menyebabkan seluruh sekolah dan institusi pendidikan terkesan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengajak semua guru supaya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) secara maya. Saya yakin dan percaya bahawa semua guru sentiasa komited meneruskan kerja-kerja mendidik anak-anak bangsa dengan pelbagai pendekatan dan alternatif yang terbaik.
Situasi yang penuh kesukaran ini telah menggerakkan momentum dalaman guru untuk mendalami pelbagai kaedah PdPR secara maya dengan pelbagai aplikasi, umpamanya menggunakan aplikasi Google Meet, Google Class Room, Zoom dan sebagainya. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk merealisasikan serta melunaskan tugasan kita sebagai murabbi tanpa tergendala TAHNIAH semuanya.
Sehubungan dengan itu, KGMMB sentiasa bergerak seiring, seia sekata dengan pihak KPM demi memastikan pendidikan anak-anak mesti diutamakan. Harapan saya semoga guru-guru tidak mudah patah semangat dan sentiasa bergerak di barisan hadapan (frontliner), menyumbang idea dan memerah minda ke arah menyemai, membaja dan menyantuni tunas-tunas pewaris legasi masa depan negara agar lebih cemerlang.
Pada masa yang sama, kita sebagai insan yang terlibat secara langsung mengasuh, mendidik dan mentarbiah anak-anak perlu sentiasa mempersiap diri membina karakter yang boleh diteladani dan terus relevan sepanjang zaman. Segala kepentingan yang bersifat peribadi, kaum, kumpulan dan etnik perlu dikikis dan dihindari. Kita mesti sentiasa berada di atas landasan yang betul berdasarkan prinsip-prinsip yang telah digarapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara yang menjadi antara paksi utama ke arah membentuk dan menterjemahkan pendidikan perpaduan selaras dengan konsep keluarga Malaysia yang digagaskan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia.
Sebagai ahli kepada sebuah profesyen yang berperanan sebagai jurutera pembina masyarakat, setiap individu guru mesti mengamalkan nilai-nilai mulia dan memperturunkannya kepada generasi pelajar dalam usaha memupuk rasa kasih sayang, hormat-menghormati, toleransi sesama demi melengkapkan kesumpurnaan landskap masyarakat Malaysia yang harmoni.
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi
Sekian, Hidup Berbakti